Alhamdulillah, hari ini genap sebulan berlalu anaknda tercinta menjengah dunia. Bermakna genap sebulan juga, amanah dari Allah ini menganugerahkan kami suami isteri gelaran ummi dan babah. Mengenang saat-saat menanti anaknda ini dilahirkan sehingga ke saat tangisan pertama anakanda ini mengisi pendegaran saya membuatkan saya membilang rasa dan mencari kata bagi mengungkapkannya. Dan inilah dia usaha saya untuk menzahirkannya, mungkin saya tidak akan mampu membuatkan semua orang yang membaca tulisan saya ini merasai apa yang telah saya rasai tetapi cukuplah sekadar 'rasa' yang menjadi milik saya itu terukir di sini.
Dalam entri yang sebelum ini, sudah saya kongsikan sedikit sebanyak perjalanan saya sepanjang kehamilan. Semasa kandungan saya melangkah ke usia 36 minggu saya sudah pun selamat tiba di teratak ayahbonda. Bermula pula sebuah safar yang bersifat on-off bagi suami saya. Dari Johor abang akan terus ke KL dan kemudian ke Melaka untuk menjengah ibu dan abah di sana. Sungguh saat menunggu hari ini begitu mencemaskan, setiap perubahan yang berlaku pada diri mengundang pelbagai rasa. Yang nyata saya dan suami tidak terlepas dari merasa teruja menantikan kelahiran permata hati kami ini.
Saya menjalani ramadhan dengan perasaan yang sukar untuk digambarkan. Alhamdulillah, Allah izinkan saya, dan bayi dalam kandungan pada masa itu untuk menikmati ramadhan dengan kudrat yang berbaki pada saya pada saat itu. Tarawih saya tidak berjemaah, hanya mampu didirikan dengan bantuan bangku di bilik kecil saya. Ramadhan ini benar-benar membuatkan saya dan suami bertambah nerves kerana EDD saya yang diberikan oleh doktor juga dalam ramadhan ini. Suami yang berada di Johor, sering mencuri masa untuk pulang ke pangkuan saya. Tidak betah untuk meneruskan aktivitinya di Johor kata suami. Suami saya terlalu membimbangkan keadaan saya, bimbang saya sakit bersalin di tengah-tengah malam. Maklumlah dengan keadaan ayah yang dah semakin uzur, dan kami yang tak punya kereta. Amat membimbangkan. Dan akhirnya suami saya putuskan untuk bercuti awal 2 minggu dari EDD saya.Saya tidak begitu merisaukan hal itu, kerana yakin pasti Allah akan menjaga saya dan kandungan saya dan pasti Allah akan permudahkan saya untuk melalui saat-saat untuk bersalin itu nanti. Saya sebenarnya termotivasi apabila mengenangkan kakak saya yang bersalin di sini ketika suaminya bertugas di Jeddah. Kakak saya ke Hospital setelah ada 'show' ditemani saya sendiri dengan menaiki teksi. Justeru saya menjadi kuat.
Kami menjalani ramadhan ini bersama. Kiranya ini ramadhan pertama kami dapat bersahur dan berbuka bersama pada kebanyakkan hari-hari ramadhan ini. Meski perkahwinan kami menjengah ke usia 2 tahun, tetapi ramadhan tahun lalu suami saya ,mengikuti kursus di Johor dan saya bekerja di KL. Alhamdulillah ya Allah atas kesempatan ini. Hari demi hari berlalu, masih juga tiada sebarang tanda-tanda besar yang menunjukkan saya akan bersalin. Ini amat membimbangkan kami suami isteri, juga mak ayah. Akhirnya tibalah EDD yang diberikan doktor, saya masih segar. Jururawat di Klinik Kesihatan melanjutkan tarikh temujanji saya ke minggu seterusnya. Saya menjadi risau amat. Rakan-rakan lain yang EDDnya sama dengan saya juga yang hampir dengan saya telah selamat melahirkan. Saya masih menghitung hari!
Ramai yang memberikan tips untuk mudah dan percepatkan bersalin dan tipsnya adalah banyakkan berjalan. Saya berjalan seawal minggu ke 36 secara konsisten, dan saya juga turun naik tangga 8 tingkat. Malah sebelum-sebelum ini juga saya masih melakukan kerja rumah seperti biasa dan berjalan ke shopping complex bersama suamidengan penuh aktif. Semasa kandungan saya berusia 7 bulan saya bisa sahaja menyertai demo berjalan dari Kampung Baru ke Kedutaan Amerika. Sepanjang kehamilan, saya juga aktif juga berulang alik Melaka – KL dengan bas bersama muatan (barang kiriman mertua kepada mak berserta laptop saya). Dengan prestasi diri yang begitu sepanjang kehamilan jadi saya djangka saya akan bersalin dengan mudah dan awal dari EDD. Nyata, yang berlaku adalah sebaliknya. Allah jua sebaik-baik perancang.
Sehari selepas temujanji di Klinik Kesihatan, suami membawa saya ke klinik swasta untuk menjalani pemeriksaan dengan pakar sakit puan. Setelah menjalani pemeriksaan dengar pakar, saya dan suami sedikit lega kerana saya dan bayi dalam kandungan dalam keadaan yang baik. Kami pulang dengan hati yang sedikit lapang. Sedikit demi sedikit rasa lapang itu mula menghilang dalam diri saya apabila Syawwal menjelma dan saya mula rasakan perubahan pada diri saya.Tahun ini saya menyambut syawwal dengan 1001 rasa bersama bonda, ayahnda, adinda dan suami. Kasihan juga pada suami, suasana raya di rumah saya amat berbeza dengan suasana raya di rumah mertua dan mak atok. Satu perkara baru yang suami saya harus belajar untuk menyesuaikan diri, beraya di KL kami tidak berkunjung kemana-mana. Selalunya hanya tunggu open-house sahaja, maklumlah orang bandar akan pulang ke desa dan setlah puasa beraya di desa barulah KL akan sesak dengan open-house. Terima Kasih abang kerana berusaha untuk menyesuaikan diri. Sayang hargainya sangat-sangat.
Bermula 3 Syawwal saya start mengalami 'leaking' tapi air yang turun dalam kuantiti yang sangat sedikit, dan hanya turun di pagi hari ketika bagun tidur. Hal ini berlaku berturut selama 3 hari. Sehingga ke 5 Syawwal, kesan 'leaking' kelihatan pada kain batik yang saya pakai. Saya menjadi begitu gentar untuk melalui saat yang berada di hadapan saya tika itu. Setelah berbincang panjang dan melalui sesi pujuk memujuk yang dikendalikan oleh encik suami, maka saya putuskan untuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Sebelum ke Hospital, saya dan suami ke Jalan TAR untuk selesaikan beberapa perkara kemudian jalan-jalan dan makan-makan, dan apabila jam menunjukkan 5 lebih barulah langkah diatur ke hospital. Masih takut tetapi saya berusaha untuk membuang rasa itu.
Sampai di hospital terus ke dewan bersalin dan menjalani saringan di situ. Kesakitan pertama yang saya rasa dalam ujian saringan itu sedikit menakutkan. Namun saya mohon agar Allah beri kekuatan. Setelah di periksa oleh seorang doktor pelatih, saya dimaklumkan bahawa bukaan baru 1cm. Saya kemudian dihantar ke bilik lain untuk menjalani imabasan ultrabunyi dan akhirnya pegawai perubatan yang menjalankan imbasan ultrabunyi itu menyatakan saya ditahan di wad. Allah! Punyala tak senang duduk saya, memandangkan suami pula berkira-kira untuk menjengah pejabat setelah terlebih cuti. Berusaha memujuk pegawai perubatan tersebut agar membenarkan saya pulang ke rumah dan akan datang 'menyerah diri' keesokan hari. Segala usaha saya tidak berhasil. Pakaian seragam pink sudah berada di tangan saya bahkan sudah di arahkan untuk menyalin pakaian. Dengan hati yang berat saya menyalin pakaian dan kemudian di hantat ke wad. Sebelum di hantar ke wad, saya sudah di maklumkan jika tidak ada sebarang perkembangan malam ini, keesokan pagi selepas subuh saya akan di 'induce'. Segera terbayang pelbagai cerita yang menggerunkan. Saya tidak putus-putus berdoa dan berzikir agar semuanya dipermudahkan.
Abang, balik ke rumah dan membawa segala barang keperluan saya. Malam itu saya bersolat di wad. Hati saya saat itu begitu kuat dalam pengharapan. Tidak ada siapa pun yang dapat membantu saya saat itu melainkan DIA. Betapa, proses bersalin itu sebenarnya proses membina segala macam perasaan dan kekuatan. Saya belajar pelbagai perkara dalam madrasah hamil dan bersalin ini. Sewaktu abang hendak keluar dari wad setelah segala keperluan saya sudah abang susunkan dalam almari di sebelah katil, abang mampir menghadiah sebuah kucupan di dahi seiring berdoa untuk saya. Tenang hati saya apabila kuntuman doa itu menyelinap masuk ke dalam pembuluh darah, apalah yang diharapkan oleh seorang isteri selain keredhaan seorang suami dan apakah hadiah terbesar bagi saya yang sedang menghitung waktu antara hidup dan mati itu selain pengiktirafan dari seorang suami mengenai diri sebagai isterinya. Betapa saya sangat damai saat itu. Saya sangat beruntung dikurniakan seorang suami yang begitu. Saya hanya mampu menterjemahkan perasaan saya saat itu dengan linangan air mata. Abang juga turut mengalirkan air mata. Malam itu sukar untuk saya melelapkan mata. Saya percaya abang juga begitu, abang tidak jadi pulang ke Johor malah tidak juga pulang ke rumah. Abang bermalam di surau hospital bukan untuk semalam tapi dari awal sehingga saya selamat bersalin.
…..bersambung
8 comments:
syukur sham... syukur kerana Allah kurniakan banyak nikmat untuk sham. nikmat mengandung w/pun agak kesukaran. nikmat melahirkan, nikmat menyusukan anak, nikmat mempunyai suami yang pengasih dan penyayang dan banyak lagi. kakchik gembira sham bahagia dengan segala pemberian Allah itu. semoga hidup sham sekeluarga sentiasa bahagia dunia akhirat. :)
kak chick lajunya komen. Nantikan kesinambungannya ok..ada byk nak share
Assalamualaikum kak sham.
heee... mengalir air mata baca tulisan kak sham, uhhh syira tetiba sensitif :D aduhai...
syirah : jazakillah ya ukht sudi menjenguk ke sini. akak sdri tak dpt nk lupa smua saat itu.apa pun nantikan sambungannya ye :) moga Allah izinkan akak berkongsi segala rasa yg Allah pinjamkan itu.
Assalamualaikum sham,
cepat2 la sambung ye..tersentuh baca tulisan sham n membakar semangat utk kuat macam sham..jzkk
salam...wah..terharu baca entry akak...alhmadulillah semua dah slmt...
kapan smabungan nya???hihih
salam..nak mengalirkan airmata jugak boleh tak?? sedih la bacanya kak...
Alhamdulillah..atas anugerahNya..
Nauzubillah..atas seksaNya
Semoga bahagia..insya Allah
Post a Comment