Friday 25 December 2009

Ulangtahun Perkahwinan Yang Pertama

Alhamdulillah, diam tak diam sudah setahun saya diizinkan Allah menjadi suri kepada suami yang begitu baik dan sabar melayani saya dari hari ke sehari. Kami masih dalam proses mengenali. Malah ada sesetengah perkara di antara kami yang hanya kami ketahui setelah hampir setahun pernikahan kami. Maka insaflah kami suami isteri bahawa proses mengenali ini adalah proses sepanjang hayat.

Syukur pada Allah yang menetapkan jodoh kami, dan menghadirkan ia dengan cara yang begitu indah sekali. Saya akur saya adalah insan bertuah yang tidak putus menerima belas ihsan Allah. Terima Kasih RabBi atas nikmat yang begitu bermakna sekali.

Setahun tentunya pelbagai pahit manis yang kami lalui dan semua itu mendewasakan kami. Semua itu menghadirkan erti kepada ikatan yang suci ini. Tidak ada kata yang dapat lafazkan dan tidak tergambar betapa bersyukurnya saya untuk memiliki dia disisi pada segala susah dan senang, suka dan duka. Perjalanan kami baru bermula dan pastinya kami mengharapkan Rahmat Allah menyinari perjalanan kami sehingga kami disatukan di syurga yang abadi.

Sebenarnya, abang terlebih dahulu membawa saya keluar makan malam, detik indah yang akan sentiasa terpahat di sanubari. Meski sedikit awal, (kerana abang sudah mula berkerja dan tidak mempunyai cuti) saya tetap berpuas hati kerana abang punya insiatif untuk mengingati hari indah ini.

Walaupun abang sudah membawa saya makan malam bersama sebelum tarikh ulang tahun pernikahan kami, saya masih mengharapkan akan ada sebuah ucapan indah Pada 14 Disember 2009. Malam 13 Disember, abang pulang dari kerja seperti biasa. Hampir 11 malam. Setelah siap membersihkan diri, abang terus masuk bilik tetapi tidak mahu tidur, puas saya bebelkan abang supaya tidur awal, kerana keesokan pagi abang akan berangkat ke pejabat awal pagi.Abang sangat liat malam itu dan saya tidak mengesyaki apa-apa. Tangan abang laju membuka beg dan mengeluarkan lappy buruknya itu :p. Apabila saya membebel tak berhenti abang pun shut down lappy yang banyak jasa itu dan melelapkan matanya. Saya seperti biasa akan tenang dan kadang kala sayu melihat abang wajah abang yang tidur kepenatan. Dan saya turut melelapkan mata.

Belum pun 15 minit kami terlelap tiba-tiba abang kejutkan saya dan minta saya bancuhkan teh susu. Saya punya lah pelik, sepanjang perkahwinan kami tak pernah abang kejutkan saya dari tidur untuk secawan teh. Saya bangun ke dapur dan membancuhkan teh susu untuk suami tercinta. Sekali lagi saya teruji bila abang tak nak minum teh di meja makan sebaliknya disuruh bawa masuk ke bilik. Saya cukup tidak gemar makan atau minum di kamar tidur. Saya tidak mengizinkan abang untuk minum di dalam bilik. Abang tidak mengalah punyalah sanggup abang merayu sungguh-sungguh. Saya yang kasihan melihat abang bersungguh-sungguh megalah tetapi hanya untuk hari ini kata saya. Saya ke dapur semula untuk mengambil teh yang terhidang, apabila saya melangkah masuk ke bilik, abang muncul dari balik pintu.

Sangat romantik, abang muncul dengan sekuntum ros merah dengan ucapan happy anniversary sayang, saya terkedu yang amat dan sangat terharu. Saya menghulurkan teh kepada abang sambil menerima ros merah tersebut. Tangan abang saya kucup dan abang hadiahkan kucupan di dahi yang amat istimewa yang membawa kami semula ke daerah cinta kami saat pernikahan itu.

Bicara abang saat itu "Sayang terima kasih kerana sudi menjadi isteri abang dan sanggup melalui segala kesusahan dan kepayahan bersama abang" Saya terkedu dan saya katakan pada abang "Abang, terima kasih kerana memilih sayang sebagai isteri abang, sayang bersyukur dan sangat bahagia". Tiba-tiba abang menyoal, sayang tak pernah menyesal menjadi isteri abang? Jawapan saya, mana mungkin abang, kerana abang adalah cinta hati sayang dan sesungguhnya segala ujian yang mendatang itu lumrah kehidupan yang membuatkan kita saling menghargai.

Malam itu berlalu dengan begitu indah, sehingga kini saya masih tidak tahu bila abang membeli bunga, di mana abang membeli dan bagaimana abang boleh membawa masuk bunga itu ke dalam bilik tanpa pengetahuan saya..

Jutaan terima kasih buat ibu, abah, mak ayah dan adik yang tidak lupa pada tarikh indah kami, terima kasih atas doa dan hadiah yang diberikan.

Nota : Allahumma Ya Allah, Jadikanlah kami suami isteri yang mencintai di kala dekat dan jauh yang saling menyayangi di kala senang dan susah, yang saing mengasihi di dalam sendu dan tawa..Allahumma Ya Allah, jadikanlah kami pasangan suami isteri yang bersatu kerana redhaMu dan jadikanlah baitul muslim kami ini landasan menuju cintaMu..Allahumma Ya Rahman Ya Rahim terimalah ibadah kami ini, satukan kami di taman syurgaMu nanti. Ya Allah tiadalah dua impian kami melainkan izinkanlah kami untuk bertemuMu wahai pemilik cinta yang maha agung juga kekasihMu khaatimul anbiya Muhammad al mustafa (SAW). Ameen, ameen, ameen ya robbal 'alameen

15 Dis 2009
Kamar Cinta
Bukit Beruang, Melaka

Thursday 24 December 2009

Aduhai Azhariy!

(Sekadar Hiasan)

Beberapa ketika dahulu Allah telah mengizinkan sebuah pertemuan antara saya dan Nur (bukan nama sebenar). Subahanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Pertemuan kami adalah bibit persahabatan yang bermula selepas Nur melayari blog saya ini. Kepada Nur saya tanyakan bagaimana beliau memperolehi alamat teratak saya ini (tak wajar sebenarnya soalan itu). Nur memaklumkan saya seorang ukhti fillah yang mencadangkan kepada Nur untuk melayari blog saya. Kebetulan Nur menghadapi masalah yang agak berat untuk dipikul seorang diri.

Dari ta'aruf biasa, Nur telah menemukan keselesaan untuk berbicara dengan saya. Justeru perlahan-lahan Nur mula berkongsi dengan saya jiwa rasa beliau. Jauh di sudut hati saya kagum dengan Nur yang mencintai jalan dakwah ini walau mehnah yang tersedia di hadapan beliau bukan sedikit. Saya menghadiahkan 'telinga' dan hati saya kepada Nur. Saya tenggelam dalam luahan rasa Nur. Kami punya persamaan!

Beberapa tahun dahulu masalah Nur adalah masalah saya. Hati saya hancur, luka itu berdarah kembali. Di tambah pula kebelakangan ini sering sahaja saya bermimpikan dia yang menghadiahkan luka itu, pernah saya mimpi saya menampar dia. Dan sesudah mimpi itu saya akan letih seletih-letihnya. Suami saya sering menasihati saya supaya saya memaafkan insan itu, tapi apakan daya saya tidak mampu dan masih berusaha kearah itu.

Berikutan itu status 'ym' saya beberapa hari ini menzahirkan kekacauan yang melanda jiwa saya. Tanpa disangka-sangka, status 'ym' saya telah menimbulkan pelbagai spekulasi. Sehingga beberapa individu yang tidak berkenaan merespon kepada status saya mengatakan bahawa mereka 'terasa' dengan status 'ym' saya tersebut. Lucunya, saya tidak mengenali mereka. Saya biarkan respon mereka bertebaran di angin lalu!

Saya turut terganggu dengan status yang saya zahirkan itu kerana insan yang bertanggungjawab menghadiahkan saya sebuah sejarah penuh berdarah itu menghantar mesej kepada saya! Mesej yang tidak diingini saya kira.

Nur sebenarnya, telah dilamar oleh seorang azhariy. Ustaz itu melamar Nur melalui emel, dan saya sendiri diberi kesempatan oleh Nur untuk meniti bait bicara Ustaz itu. Semasa membaca emel itu, saya benar-benar kembali ke daerah perit milik saya, kenangan yang tersimpan kemas dalam ingatan ini. Bersandarkan Allah dan rasul Ustaz itu mahu mereka taqdim, tetapi untuk tempoh masa yang tidak jelas kerana Ustaz tersebut punya beberapa masalah yang perlu di selesaikan.

Adinda Nur yang bersangka baik dengan Ustaz tersebut di iringi pula dengan istikharah beliau, beliau menerima lamaran tersebut. Tetapi malangnya baru sahaja 4 bulan usia perkenalan tersebut, Ustaz tersebut telah menuturkan sesuatu yang tidak enak untuk didengari kepada adik angkat Nur yang merupakan orang tengah meraka ini. Nur telus kepada adik angkatnya pada setiap perkembangan perhubungan itu. Sebaliknya Ustaz itu berdusta, dusta pada bicaranya! Ustaz itu mengatakan bahawasanya antara dia dan Nur tidak ada hubungan istimewa malah mereka belum pun sampai ke peringkat taqdim. Hanya sahabat biasa katanya.

Nur yang mendengarkan hal ini, terduduk dan tertunduk dengan ujian yang datang kepadanya. Saya sangat memahami perasaan Nur. Nur gadis suci yang tidak pernah membuka hati untuk mana-mana lelaki. Allah menduga gadis suci itu seperti mana saya pernah teruji. Nur mendatangi saya dengan air mata, sungguh saya tidak punya jawapan untuk setiap persoalan beliau. Kerana saya sendiri menjadi musykil dengan pengakuan Ustaz yang tak berapa nak Ustaz itu!

Setelah pelbagai janji manis dan impian yang dibina bersama melalui pelbagai perancangan mereka, akhirnya Nur terkandas. Setelah mereka ini ditaqdim, cadangan tarikh nikah juga sudah ditetapkan. Dari cerita Nur, saya dapat membuat kesimpulan bahawa ustaz ini sebenarnya ego. Ego seorang Azhariy mugnkin.

Saya sampai kepada kesimpulan itu selepas Nur memberi tahu saya, bahawa perubahan ustaz itu mula ketara apabila Nur melarang Ustaz itu menelefon Nur tanpa ada sebab musabab yang menghalalkannya.Nur juga tidak selesa dengan gaya perbualan ustaz tersebut yang semakin hari semakin lagho katanya. Demi melindungi kesucian proses baitulmuslim mereka yang baru bermula Nur tekad untuk menegur ustaz tersebut. Bukan mudah untuk Nur menegur seorang ustaz, kerana Nur bukan dari latar belakang pendidikan agama, tetapi apa yang saya pasti Nur dalam jalannya mencari redha Allah SWT. Dek kerana teguran itu segala-galanya musnah.

Masih saya ingat bait bicara ustaz tersebut dalam emelnya kepada Nur, betapa beliau menunjukkan kesungguhan dan mahukan Nur menjadi suri hidup beliau. Sayang seribu kali sayang, ustaz itu sebenarnya tewas di medan nafsunya sendiri. Gagal untuk memanifestasikan maksud teguran Nur, malah tercabar pula. Sewajarnya ustaz tersebut perlu bersyukur kerana Nur masih mampu menegur ustaz tersebut dan tidak hanyut dengan gelombang cinta ciptaan ustaz itu sendiri. Hebat permainan syaitan!

Setelah beberapa hari ustaz itu kemudiannya ber'ym' dengan Nur seolah-olah tiada apa yang berlaku. Mungkin pada sangkaanya Nur tidak tahu apa-apa. Nur yang pada mulanya berdiam diri akhirnya bersuara. Bertanyakan hal yang sebenar dalam situasi yang terkawal. Pertanyaan dan persoalan Nur tidak dijawab. Sepi seribu bahasa. Beberapa hari setelah itu ustaz tersebut memohon pada Nur untuk membaca blog beliau sebagai jawapan kepada persoalan yang Nur tanyakan. Saya juga turut membacanya. Saya tahu Nur pasti menangis lagi. Isu yang ditimbulkan oleh ustaz itu adalah pasangan yang solehah. Saya masih punya 1001 hujah untuk dijawab oleh ustaz itu, pun begitu matlamat saya sekarang adalah membantu Nur dan bukannya untuk 'megajar' ustaz itu.

Kepada Nur, saya tuturkan beberapa bicara hati juga pengalam duka saya sendiri, dan akhirnya saya melihat Nur kembali tabah untuk meniti hari-hari mendatang.

Tetapi saya masih tidak melupakan segalanya, saya terduduk dengan fenomena ini. Kerana ini bukan pengalaman Nur seorang malah lebih dari itu saya pernah melaluinya, lebih perit dan parah kisah saya itu, juga kisah beberapa sahabiah yang melaluinya. Apa yang saya pasti bagi akhowat-akhowat yang begitu naif mengukur golongan azhariy ini kasih sayang Allah adalah pengubat lara itu.

Saya tidak nafikan bukan semua azhariy yang begitu tetapi kebanyakkan begitu. Saya percaya masih ada yang bersih fikrahnya. Saya punya seorang sahabat azhariy yang sangat dekat dengan kehidupan saya dan suami, sahabat yang pernah menuntun saya bangun dari 1001 ujian dengan membisikkan kepada saya qalam Allah dan hadith nabi saw. Hakikatnya hanya dia yang saya temui dengan seindah akhlak dan semulus adab. Moga dirimu terus mewangi sehingga ke syurga sana dengan akhlak dan adab itu sahabat . (Lamka)

Saya berbincang dengan suami mengenai hal ini. Menurut suami yang membezakan antara hamba Allah adalah taqwa, dan taqwa ini bukan milik golongan ustaz sahaja. Setiap individu mampu untuk memiliki taqwa itu. Agama yang baik itu ukurannya bukan pada 'title' seseorang sebaliknya ia terletak pada iman dan amal mereka.

Golongan akhawat yang berfikrah lebih cenderung untuk memiliki zauj yang bergelar ustaz kerana di situ mereka yakin mereka telah pilih yang beragama sedangkan berilmu agama belum tentu beragama. Saya terdiam memikirkan kebenaran kata-kata suami yang sangat saya cintai selepas Allah dan Rasul itu.

Terkenang pula saya kepada bicara ayahanda apabila saya meningkat remaja. kata ayah "Setinggi mana pun serban seorang lelaki, sepanjang mana pun janggut seorang lelaki, dia tetap seorang lelaki yang lelaki. Seorang manusia yang punya segala kelemahan, justeru usah justifikasi dengan hanya melihat zahirnya."

Itulah hakikatnya apabila bercakap soal taqdim, baitul muslim permulaan ke arahnya memerlukan mujahadah yang sangat kuat. Untuk memulakannya sangat mudah tetapi memastikan kesuciannya sehingga akad nikah amatlah payah.

Biarpun dia adalah azhariy, dia bertalaqqi dengan pelbagai syeikh di bumi itu hakikatnya dia tak kan mampu menjadi insan yang 'beragama' selagi mana dia tidak mampu amanah pada ilmunya, luhur pada amalnya. Apabila khianat dan mazmumah yang menghiasi bagaimana untuk mengecapi taqwa dan menjadi insan beragama seperti yang nabi maksudkan dalam hadith baginda? Begitu ujian bagi mereka golongan azhariy dan lain pula ujian kita yang ingin mengenggam taqwa dalam keadaan bertatih mengutip satu persatu mutiara syariatullah.

Apa pun sebagai hamba seharus kita kembali kepada DIA . Kita harus insafi bahawa segala sesuatu senantiasa dalam pengetahuan Allah dan bagaimana untuk berdusta di hadapanNYA. Moga-moga kita dapat suburkan dan bajai sifat ihsan di dalam diri ke arah memperbaiki peribadi untuk menjadi hamba acuan quran dan syariatullah persis seperti yang dikhendaki olehNYA.

Nota : Hakikatnya hidup ini adalah untuk mati dan bertemu dengan sang pencipta juga kekasihnya. Semoga kita semua akan diampuni dan dipilih untuk melihat wajah Allah dan Rasulullah. La ilaha Illa Allah Muhammad Rasulullah, Allahummah Solli 'Ala Muhammad

Wednesday 23 December 2009

Gambar HOT Waheeda!

Kredit Gambar : Rotikaya.com

Lama tidak mendengar kisah tentang penyanyi ini sejak dia mengumumkan persaraannya dari dunia seni sebaik mendirikan rumahtangga dengan penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy Ogos lalu.

Khabarnya, Waheeda kini lebih tenang menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak tirinya, Maisara dan Sharif yang tinggal bersamanya dan Akhil.

Malah, ketika ditemui pada majlis persandingan mereka di Dewan Guthrie Bukit Jelutong, Shah Alam, akhir Oktober lalu, Waheeda akui kehidupannya kini cukup bahagia di samping menumpukan kepada amalan ibadah.

Terbaru, wanita berusia 30 tahun ini dilihat sudah tampil dengan imej terbarunya - berpurdah. Waheeda dilihat berpenampilan sedemikian sewaktu menghadiri sebuah majlis bersama suaminya, baru-baru ini.

Cuba dirisik kepada empunya badan, Waheeda akui dia kini senang dengan imej sedemikian. Malah, sejak dulu lagi memang penyanyi yang pernah popular dengan lagu Wassini ini sudah menyimpan hasrat untuk berpurdah, cuma ketika itu dia belum berpeluang untuk berbuat demikian.

Malah, ketika seorang kenalan menghubunginya baru-baru ini, Waheeda kedengaran cukup ceria dan melahirkan rasa lega kerana hasratnya itu kesampaian jua.

Tiada siapa memaksa, tetapi apa yang dilakukannya itu datang daripada dirinya sendiri.

Dan berpegang kepada prinsipnya, jika boleh, dia tidak mahu lagi terlibat di dalam sesi fotografi mahupun temubual tentang kehidupannya kini. Kata Waheeda, lebih baik diajukan kepada suaminya saja kerana dia bukan lagi seorang selebriti.

Difahamkan, Waheeda juga bakal melatih anak tirinya, Sharif untuk menyanyi dan mengeluarkan album berjudul Zikirallah.

Ditanya lagi sama ada dirinya kini sudah 'berisi', kata Waheeda, rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri masih belum dikurniakan Allah.

Apapun, dia tetap bersyukur kerana dapat mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak tirinya yang juga menghormati dan menyayanginya sebagai ibu sendiri.

Sumber : http://www.mstar.com.my

Nota : Saya 'speechless' selepas meneliti berita ini dan hati saya menangis memanjatkan syukur pada DIA yang maha berkuasa.Allahu Waliyyu Taufiq! Rabbana La Tuzik Qulubana Ba' Da Iz Hadaitana Wa Hablana Min Ladunk Karahmah. Innaka Antal Wahhab. Sesunggunya milik Allah lah segala petunjuk dan hidayah. Wahai Allah jangan KAU ambil semula hidayah yang telah KAU kurniakan kepada kami, bantulah kami raBbi untuk terus istiqamah di jalan ini. Teguhkan jiwa kami dalam berpegang teguh kepada sunnah para ummahatul mukminin yang indah ini, mudah-mudahan ianya menjadi langkah awal kami menuju redhaMu ilahi..Ameen Ya Rabbal 'Alameen

Thursday 17 December 2009

Hukum Membaca Doa Awal Tahun Dan Akhir Tahun

Sumber : http://aburuqayya.wordpress.com

Awal Muharram merupakan merupakan bermulanya tahun baru di dalam kalender Islam. Masyarakat kita telah didedahkan semenjak zaman berzaman lagi upacara membaca doa awal tahun dan akhir tahun. Yang agak sedihnya adalah terdapatnya semacam janji syaitan kepada si pengamal doa ini bahawa : “Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.” dan juga “Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan”.

Kata-kata siapakah ini? Apakah kata-kata dari manusia biasa boleh dijadikan sebagai hujah fadilat sesuatu amalan lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan aqidah? Sudah tentu sekali tidak boleh sama sekali. Perkara yang berkaitan dengan fadilat amal, dosa, pahala dan semua perkara yang berkaitan dengan akidah tidak boleh berhujah atau diambil dari kata-kata manusia biasa yang tidak maksum, meskipun ia merupakan seseorang yang begitu alim dan warak di dalam selok belok agama. Hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang berhak.

Yang paling menyedihkan sekali, kata-kata yang terkandung di dalamnya janji-janji syaitan itu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi sayangnya ujaran kata-kata di atas tidak terdapat di dalam kitab-kitab yang menghimpun hadith-hadith baginda s.a.w seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan Nasa’ie, Sunan Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad, Sahih Ibnu Hibban, Sahih Ibnu Khuzaimah dan lain-lain lagi.

Maka jelaslah bahawa fadilat doa awal dan akhir tahun adalah palsu dan batil serta tidak boleh sama sekali disandarkan kepada Nabi s.a.w. Ketahuilah bahawa di situ terdapat amaran keras daripada Rasulullah s.a.w bagi sesiapa yang menyandarkan sesuatu perkara yang bukan dari baginda, Sabdanya: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Beramal dengan riwayat palsu?

Berdasarkan hadith di atas, para ulama hadith menekankan bahawa haram beramal dan menyebarkan hadith-hadith palsu apatah lagi disandarkan kepada baginda s.a.w bagi sesiapa yang mengetahui status kepalsuannya, seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Ibnu al-Solah di dalam karangannya ”Ulum al-Hadith‘ m.s 98: “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya“.

Al-Imam an-Nawawi juga menjelaskan hukum berkenaan dengan hadith palsu di dalam muqaddimah (pendahuluan sesuatu kitab) karangannya iaitu ‘Syarh Sahih Muslim‘: “Haram meriwayatkan sesuatu hadith palsu bagi orang yang mengetahui bahawa hadith itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadith ini palsu. Siapa yang menceritakan hadith yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya palsu serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad SAW di antara hadith tentang hukum-hukum dan hadith yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadith yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadith-hadith nasihat dan lain lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam.

Seterusnya an-Nawawi berkata lagi: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.”.

Selain itu, kebatilan riwayat doa tersebut dan fadilatnya dikuatkan dengan tiada riwayat yang menyatakan amalan ini diamalkan oleh golongan salafussoleh yang terdiri dari golongan sahabat dan tabi’ien. Jika benar amalan ini dari Rasul dan digalakkan di dalam Islam, nescaya para sahabat dan tabi’ien berlumba-lumba untuk melakukannya demi mengarap kebaikan disebalik amalan tersebut yang kononnya hebat fadilatnya. Begitu juga tiada riwayat yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w dan para sahabat r.a membaca doa tersebut secara berjemaah dan beramai-ramai. Apa yang thabit dari baginda s.a.w dan para sahabat r.a adalah membaca semua jenis doa secara bersendirian.

Bolehkah beramal dengan doa ini?

Berasaskan minda yang terbuka, tidak ada salahnya membaca doa ini selagimana tidak terlintas di hati pembacanya bahawa ia disyarakkan atau diperintah oleh agama kita. Begitu juga kerana maknanya pun tidak menyalahi syarak. Kita tidak perlu terhad kepada kaifiat yang didatangkan bersama-sama doa ini, seperti kaifiat doa awal tahun hendaklah di baca selepas Magrhrib 1 Muharram. Disebabkan maknanya baik, tidak kiralah waktu dan hari apapun, baca sahajalah doa ini dengan mengharapkan Allah mengkabulkan doa tersebut.

Pada pendapat penulis, doa ini adalah lebih baik tidak diamalkan samaada individu ada secara berjemaah. Kerana terbukti bahawa ia datang dari riwayat yang palsu dan batil. Kerana ia juga dikuatiri bahawa masyarakat akan menganggap bahawa amalan ini adalah sunnah yang datang dari baginda s.a.w atau dari sahabat nabi r.a. Lihat sahaja bilangan bacaan yang digalakkan untuk membacanya(sebanyak tiga kali), siapakah yang mengesyorkannya begitu? sudah tentu bukan sama sekali dari Allah s.w.t dan RasulNya.

Lihat realiti semasa, betapa ramainya individu muslim menganggap bahawa doa awal dan akhir tahun disyarakkan oleh agama sedangkan ia tidak termaktub sama sekali di dalam al-Quran dan Sunnah mahupun amalan salafussoleh. Jika anggapan seperti ini terus diyakini setelah mengetahui kebatilan riwayat, sanad dan matannya, maka secara jelasnya ini adalah Bid’ah di dalam agama dan perkara yang diketogarikan sesat dan ditolak oleh Islam.

Semua orang maklum bahawa doa tidak perlu terhad kepada apa yang terdapat dari al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw sahaja tetapi ia adalah yang terbaik. Ia merupakan manifestasi keikhlasan dan kesungguhan si pemintanya yang dilahirkan dari suara hati dan bait-bait perkataan. Asalkan ia tidak menyalahi syarak dan keterlaluan, maka bacalah apa sahaja doa yang kita hajati.

Lihat juga:-

http://forum.jiwang.org/Kebathilan-Doa-Awal-Tahun-and-Doa-Akhir-Tahun-t15171.html

http://www.al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=97&t=31502

http://qazikirdandoa.blogspot.com/2009/03/artikel-jakim-doa-awal-dan-akhir-tahun.html

Nota : Jumhur Ulama’ mengatakan bhw HARUS kita berdoa dgn doa yg dikarang sendiri walaupun Nabi tidak pernah berdoa dgn doa itu. Bila berdoa dgn doa yg tidak ma’thur , janganlah pula iktiqad doa itu lebih baik drp doa yg didatangkan dr Qur’an dan Sunnah.

Sekadar perkongsian..

Wednesday 16 December 2009

Kenapa Saya Tidak Mengemaskini Blog?

Diam tak diam, hampir sebulan saya tidak mengemaskini blog. Saya kehilangan momentum penulisan saya untuk beberapa ketika dan puncanya sangat menyakitkan. Saya merajuk! Barangkali itu alasan yang tepat. Saya bukan penulis yang masyhur dan ternama, coretan saya di blog ini sekadar berkongsi rasa dan bahasa, menyantuni jiwa, memujuk atma. Itu tujuannya. Tetapi baru-baru ini hati saya begitu terluka, apa bila berlaku kes cetak rompak pada beberapa bahagian penulisan saya. (cewwaahh bunyi macam penulis / komposer terkenal pulak) tetapi itu lah yang berlaku. Dan lebih menyedihkan hal ini dilakukan oleh orang yang saya kenali.

Saya sangat gembira apabila tulisan saya membawa manfaat kepada semua, tapi saya tak suka budaya meniru! Saya anti-peniru. Mungkin individu ini terlalu ghairah mahu dikenali sebagai penulis lalu berusaha menghasilkan penulisan kreatif yang gempak. Sesekali bila saya fikirkan mudahnya langkah individu terbabit untuk menjadi masyhur. Kalau tengok penulis-penulis amatur seperti kak Lily Haslina, dan kak Zaharah Muhammad menulis pastinya kita akan lebih insaf. Tidak wajar jika menulis untuk mencari populariti, sebaliknya menulis untuk membina masayarakat yang lebih terbuka mindanya!

Saya sudah pun meninggalkan komen di blog beliau dengan mengatakan bahawa terdapat beberapa babak yang di 'cetak rompak' dari tulisan saya, hasilnya tidak ada perubahan tetapi komen saya itu pula yang didelete.

Terdapat pengunjung blog dan sahabat saya yang akan mohon izin untuk mengambil tulisan saya atau menyebarkan tulisan saya, pastinya saya mengizinkan malah saya gembira apabila ada pihak yang nampak manfaat dari tulisan saya. Apa yang sangat mengecewakan saya adalah apabila tulisan saya diambil kemudian ditokok tambah, diolah, disusun atur semula dan kemudian individu terbabit mengaku bahawa itu adalah karya beliau dan cetusan idea beliau! Saya tidak suka akan ketidak jujuran dalam menulis, kerana saya menulis dari hati menggunakan perasaan jiwa saya, membentuk jalan cerita menggunakan sentuhan imiginasi saya yang kadangkala mengakibatkan saya sendiri termenung di hadapan komputer riba saya dengan linangan air mata, begitu juga apabila saya membaca tulisan sahabat-sahabat saya di blog masing-masing.

Saya juga sukakan penulisan kreatif, malah seawal usia 15 tahun tulisan saya telah menyebabkan guru bahasa melayu dan beberapa orang guru saya yang lain mengalirkan air mata dengan jalan cerita saya. Dan itu merupakan langkah pertama saya dalam dunia penulisan kreatif. Saya masih menulis, impian saya untuk menghasilkan novel, tetapi saya masih belum mampu menyiapkan novel tersebut lantaran saya belum mampu menulis sepenuhnya menggunakan perasaan jiwa saya dan membentuk jalan cerita menggunakan sentuhan imiginasi saya sendiri. Setakat Bab 1 sahaja novel saya itu, seringkali juga suami saya menekankan agar saya tamatkan penulisan saya itu. Saya adalah insan yang sangat mementingkan keaslian dan kejujuran dalam menulis.

Masih saya ingat sewaktu tulisan saya tersiar dalam tabloid politik tanah air, ada beberapa orang sahabat yang datang kepada sayan adn menyatakan "tingginya bahasa hang, aku tak faham apa yang hang tulis ni". Saya hanya ketawa kecil ini sambil berkata dalam hati 'padan muka aku, menulis ikut perasaan sendiri ikut bahasa jiwa sendiri' sudahnya ada yang tak faham. Saya juga tak pasti bagaimana editor tabloid terbabit berkehendakan akan tulisan saya, barangkali beliau kasihan dengan saya yang syok sendiri ini!haha. Saya tidak kisah kerana ianya tulisan saya sendiri dan saya tidak menciplak!

Dek kerana kekecewaan yang teramat, setiap cetusan rasa yang ingin saya coretkan di blog ini saya benamkan sedalam-dalamnya di hati saya. Akhrinya kak Nik dan beberapa orang sahabat mula bersuara!

InshaAllah, emosi saya sudah pulih dan saya akan menulis kembali. Banyakkan yang ingin saya kongsikan terutama sekitar hari ulang tahun perkahwinan saya yang cukup istimewa dan beberapa isu lain!

Maaf kepada tetamu ziarah yang kecewa apabila melihat blog ini tidak terisi, juga kepada teman-teman yang sudi bertendang tanpa jemu, maafkan saya! Kepada individu terbabit masih belum terlambat untuk anda perbaiki cara menulis anda, mendapatkan ilham dari tulisan orang lain tak salah tetapi menciplak idea orang lain adalah SALAH! Bukan senang nak senang, bersusahlah dahulu dan bersenang kemudian :)

Nota : Kepada teman-teman yang mendapat sekelumit manfaat dari tulisan saya teruskanlah menyebarkannya kepada yang lain, terima kasih atas sokongan.