Monday 13 October 2008

Melangkah Ke Jalan Menuju Allah

Pena menari kembali tinta mncoret lakaran mujahidah....
artikel disumbangkan oleh ammu tersayang : abu muaz - london

MELANGKAH KE JALAN MENUJU ALLAH

Muqaddimah

Hanya terdapat dua jalan sahaja yang terbentang di hadapan setiap manusia. Satu darinya ialah jalan yang mana penghujungnya ialah (keredhaan) Allah swt. Penghujung bagi jalan yang satu lagi ialah kehancuran dan penyesalan. Tidak ada jalan lain yang dapat dipilih oleh setiap insan untuk dilaluinya selain dari dua jalan ini.

Manusia diberi kebebasan untuk memilih. Mereka berpeluang untuk melangkah ke jalan menuju Allah ataupun mengambil jalan menuju kehancuran. Mereka sendiri yang akan beroleh kemanfaatan atau kemudharatan dari pilihan mereka itu.

Insan-insan yang ingin melangkah dan terus menjalani jalan menuju Allah terikat dengan tiga perjanjian yang mereka cuba menunaikan seberapa sempurna. Perjanjian-perjanjian itu ialah melakukan segala perintah Allah, meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dan redha dengan segala apa yang telah ditentukan oleh Khaliq, Pencipta Alam.

Seandainya saudara-saudaraku memilih jalan menuju Allah, maka marilah kita meneliti penulisan ini, di samping itu hendaklah anda memeriksa diri sendiri sejauh manakah saudara menghayatinya.

Dorongan Batin

Di sana memang ada orang-orang yang dipilih Allah untuk menyintaiNya. Di hati mereka tercetus satu dorongan yang mengajaknya untuk segera melangkah ke jalan menuju Allah, ke jalan menuju kebahagiaan, serta membelakangi segala maksiat dan kesesiaan di dalam hidup ini. Itulah tanda-tanda petunjuk daripada Allah. Kerapkali ia dilimpahkan ke dalam hati seseorang insan dengan perkara yang menggembirakannya atau menakutkannya seperti teringatkan azab Allah; atau timbul perasaan rindunya terhadap Allah ataupun menerusi pertemuan dengan para wali Allah. Adakalanya dorongan itu berlaku tanpa sesuatu sebab.

Firman Allah:

"... tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk." (Al Qashash : 56)

Allah yang Maha Penyayang tetap akan memberikan petunjukNya kepada sesiapa sahaja di kalangan hambaNya yang mahu menerima petunjuk. Dia akan melapangkan dada mereka untuk menerima bimbinganNya, menjalani jalan menuju kepadaNya seterusnya mendapat keredhaan dan kecintaanNya. Allah swt telah berfirman:

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya, nescaya Ia melapangkan dadanya untuk menerima Islam." (Al An'aam : 125)

Adapun bercita-cita untuk mendapatkan dorongan seperti itu memanglah dituntut dan digalakkan. Akan tetapi bercita-cita atau berharap sahaja untuk meningkat tanpa berusaha adalah suatu keputusan bodoh yang menunjukkan kedangkalan akal orang yang mencitainya itu. Sesungguhnya dorongan ini adalah salah satu nikmat yang tertinggi di antara nikmat-nikmat Allah. Lantaran itu, insan yang telah pun merasainya hendaklah melipat-gandakan kesyukuran kepada Allah swt di atas kurnianNya itu. Lihatlah betapa ramai orang yang mencapai usia tua tanpa memperolehi dorongan seperti itu.

Kita mungkin tertanya-tanya mengapa sebahagian dari manusia diberikan petunjuk hidayat sedangkan sebahagian yang lain tidak. Sudah tentu Allah yang Maha Adil tidak akan berlaku zalim. Untuk menjawabnya, renungilah

firman Allah swt:

"Sebahagian manusia diberi petunjuk hidayat oleh Allah dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin mereka selain Allah serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayat." (Al A'raaf : 30)

Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah swt agar kita dihindariNya dari tergolong ke dalam golongan tersebut. Alangkah ruginya mereka lantaran menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin mereka, menyesatkan lagi diri mereka yang telah sedia sesat. Pohonlah dari Allah swt agar dilimpahkan kepada kita petunjukNya.

Sabda Nabi saw:

"Allah swt telah berfirman: 'Hai hambaKu, kamu sekalian sesat kecuali yang Aku beri petunjuk, maka pohonlah petunjuk hidayat kepadaKu, nescaya Aku tunjukimu.'" (Muslim)

Adalah terjamin doa setiap insan yang memohonkan hidayat dari Allah swt, tetapi dengan syarat permohonan itu hendaklah lahir dari hati yang benar-benar inginkannya, hati yang ingin dibimbing dan dipimpin oleh sebaik-baik Pembimbing dan Pemimpin. Hati yang sedemikian inilah yang akan diterangi dengan sinaran makrifat dan mahabbab Allah swt. Dari hati inilah akan terpancarnya sinaran ke anggota lahir dan batin untuk terus mentaati Allah, dan terus melangkah di jalan menuju Allah.

Santapan Rohani

Santapan rohani merupakan satu keperluan yang tidak boleh diabaikan sama sekali. Rohani tanpa santapan seumpama jasad tanpa makanannya. Tanpa santapan untuk rohani, ia akan menjadi lemah, layu dan mati sebelum berjaya di dalam perjalanan ini. Santapan rohani hanya sempurna dengan adanya hubungan yang terus menerus dengan Allah swt, ingat dan bersyukur kepadaNya serta melaksanakan ibadat dengan sebaik-baiknya.

Sabda Rasulullah saw:

"Sesungguhnya Allah telah berfirman: Dan tidak mendekat seorang hambaKu kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Kusukai daripada menjalankan kewajipannya, dan selalu hambaKu mendekat kepadaKu dengan melakukan sunat-sunat sehingga Kusukainya. Maka apabila Allah telah kasih kepadanya, Akulah yang menjadi pendengarannya dan pengelihatannya, dan sebagai tangan yang dipergunakannya dan kaki yang dijalankannya." (Bukhari)

Nyatalah dari hadith ini bahawa perkara yang paling utama untuk dilakukan di dalam perjalanan ini ialah menunaikan kewajipan yang ditetapkan Allah kepada kita. Kewajipan itu meliputi perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dan juga yang berhubungan dengan sesama manusia. Resapkanlah ke dalam hati sanubarimu setiap masa dan pengaruhilah dirimu agar ia tabah dan tawakkal menjalankan perintah Allah sehari-hari.

Di samping menitik-beratkan amalan-amalan fardhu, kita juga hendaklah tekun dan istiqamah dalam mengerjakan amalan-amalan sunat. Ibadat sunat yang paling utama kita tekankan selain dari sembahyang berjemaah ialah menghidupkan sebahagian dari waktu malam semata-mata untuk menyembah Allah. Pendidikan jiwa di waktu malam dengan adanya sembahyang tahajjud, doa dan pembacaan Al-Quran disertai dengan keteguhan jiwa dan kekuatan hati mampu membentuk peribadi insan yang sanggup menanggung tanggungjawab dan kewajipan yang dipikulkan kepadanya - itulah bebanan yang dipusakai dari para nabi dan para rasul. Cubalah bayangkan, di saat orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi, kita bangkit untuk mengingati Allah. Di dalam gulita malam kita mengabdikan diri kepada Tuhan, lantas terungkaplah madah:

Hati yang selalu mengingatiMu,
Tidak memerlukan ubur dan lampu,
WajahMu yang selalu menjadi idaman itulah alasan kami,
Pada hari ketika manusia mengemukakan alasan (kiamat).

Saudara-saudaraku, cubalah sedaya-upayamu untuk bersembahyang tahajjud, kalau pun tidak setiap malam, sekurang-kurangnya sekali seminggu. Bayangkanlah ganjaran keredhaan Tuhanmu yang bakal kau kecapi dengan kesanggupanmu untuk mengorbankan tidurmu yang enak itu semata-mata keranaNya. Hayatilah firman Allah mengenainya:

"Dan pada sebahagian malam hari, bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji." (Al Israa' : 79)

Fahamilah saudara-saudaraku, sesungguhnya kelebihan tahajjud itu adalah kerana kesungguhanmu yang sanggup mengorbankan waktu tidurmu untuk beribadat kepada Ilahi. Selain dari itu, sesungguhnya kegelapan dan kesunyian malam itu menambahkan lagi kedamaian di jiwamu.

Selain dari sembahyang malam, jagalah sembahyang-sembahyang sunat yang lain seperti sembahyang witir, rawatib, dhuha, taubat dan tasbih. Amalan zikir, termasuklah membaca Al-Quran, perlulah kau jaga. Tetapkanlah dirimu dalam berzikir - menyebut dan mengingati Allah sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya, juga di masa-masa yang lain

Firman Allah:

"Dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenamnya dan bertasbih pulalah pada waktu-waktu di malam hari dan pada waktu-waktu di siang hari, supaya kamu merasa senang." (Thaa Haa : 130)

Selain dari sembahyang-sembahyang sunat dan zikir, peliharalah juga amalan-amalan sunat yang lain seperti puasa dan sedekah. Tetapkanlah dirimu berpuasa sunat terutamanya tiga hari dalam sebulan iaitu di hari-hari putih (13, 14 dan 15 haribulan dari bulan Qamariah). Tabahkanlah hatimu untuk tetap berpuasa kerana sesungguhnya orang yang berpuasa akan merasai dua kegembiraan: tatkala berbuka puasa dan yang lebih utama ialah ketika mengadap Tuhan yang Maha Penyayang. Lazimkanlah dirimu juga untuk bersedekah kerana ianya adalah salah satu langkah untuk menghilangkan sifat kikir dari dirimu. Kekikiran merupakan salah satu sifat yang mesti dibuang oleh orang-orang yang mahu melangkah ke jalan menuju Allah.

Jika anda merasa sulit untuk mengerjalan amalan-amalan itu berterusan, maka bersabarlah, tabahkanlah hati dan kuatkan iman. Pandanglah dirimu sebagai seorang sakit yang harus berani dan tabah untuk menelan ubat yang sangat pahit, dengan harapan ia akan sembuh kembali. Istiqamahlah dalam beramal di samping menjaga hatimu dari perasaan malas, riya', ujub dan takabbur.

Dalam beramal, anda juga harus berhati-hati dan berhemat. Janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan yang dilakukan tanpa memikirkan kualiti dan pengabulannya. Apa gunanya amalan yang banyak sedangkan pintu penerimaannya tertutup. Mungkin itu disebabkan kita tergesa-gesa dalam mengerjakan ibadat tersebut tanpa khusyuk atau menghayatinya. Ataupun mungkin juga kerana timbul perasaan riya' dan ujub yang segera membinasakan pahala amalan-amalan kita itu.

Tanda diterima amal ialah merasa senang melakukan ibadat dan bertambah puas menerima segala ajaran tuntutan Allah dan RasulNya. Buah dari amal ibadat di dunia ini ialah merasakan lazat manisnya amal itu sehingga terasa sebagai nikmat yang tidak ada bandingannya. Itulah permulaan bagi ganjaran Allah untuk setiap insan yang meneguhkan hatinya untuk menjalani jalan menuju Allah ini. Seseorang yang bersungguh-sungguh dalam niat amalnya dapat merasakan nikmat amal itu sebelum mengerjakannya. Apabila ia ikhlas dalam melakukannya, ia akan merasa manisnya amal ketika melakukannya. Amalan yang sedemikianlah yang akan menghasilkan kurniaan Allah.

Firman Allah:

"Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri." (Faathir : 18)

Firman Allah lagi:

"Barangsiapa yang mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang saleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya."
(Al Kahfi : 110)

Pemeliharaan Diri dari Dosa

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku di perjalanan menuju Allah, sesungguhnya anda tidak akan sampai kepada penunaian perintah-perintah Allah kecuali dengan menjaga hati dan anggota-anggota badanmu pada setiap saat dan ketika. Allah swt melihat bisikan hatimu. Ia mengetahui setiap lintasan yang ada pada dirimu, mengetahui setiap fikiran, setiap langkah dan apa pun juga perbuatanmu, baik kamu sedang bergerak maupun sedang berdiam diri. Meskipun anda berada di tengah-tengah pergaulan atau bersunyi-sunyi sendirian, adalah kesemua itu tetap berada di dalam kehadiranNya. Lantaran itu awasilah dirimu, jauhilah kemungkaran.

Seandainya anda melakukan kemungkaran kepada Allah, sedang anda yakin bahawa Allah swt melihat kelakuan anda itu, maka anda adalah orang yang mengejek-ngejek Tuhan. Sebaliknya jika anda melakukan maksiat sedangkan anda yakin pula bahawa Tuhan tidak melihat kelakuan anda itu, maka sebenarnya anda adalah seorang kafir.

Terus-terusan mengerjakan dosa menjadikan hati hitam dan selanjutnya hati itu menjadi kelam dan keras, tidak ada kebersihan dan keheningan serta tidak akan merasa lega dan manis dalam mengerjakan ibadat. Jika Allah tidak memberi rahmat, maka hati yang sedemikian itu akan menarik pemiliknya kepada kekufuran dan kecelakaan. Tanda hitamnya hati ialah seseorang itu tidak merasa kaget atau takut dalam mengerjakan dosa, dan tidak merasa manis dengan mengerjakan ketaatan serta tidak berkesan akan nasihat. Sungguh benar orang yang mengatakan bahawa sekiranya anda tidak merasa kuat mengerjakan sembahyang di malam hari dan puasa di siangnya, itulah suatu tanda bahawa anda terbelenggu oleh dosa-dosa. Bukan sahaja orang yang melakukan maksiat tidak merasakan kelazatan ibadat tetapi juga bagi orang yang bercita-cita untuk melakukannya.

Oleh yang demikian, peliharalah dirimu dari melakukan sebarang dosa walaupun ianya hanyalah dosa kecil. Jauhilah ia laksana anda menjauhkan diri dari meminum racun yang berbisa. Hendaklah anda takut dari melakukan dosa itu lebih dari rasa takut dan gentar jika termakan racun yang akan mematikan dirimu sendiri. Padahal hati seorang mukmin itu lebih berharga dari tubuh badannya.

Saudara-saudaraku, adalah menjadi kewajipanmu untuk mengenal setiap maksiat, samada yang dilakukan oleh hatimu maupun yang dilakukan oleh tubuh badanmu yang kasar ini. Anda harus mengetahui penyakit-penyakit hati yang sering menyerangmu dan ubat-ubat baginya. Dengan hatimu yang mengidapi penyakit riya', ujub, takabbur, dengki, lalai dan lain-lain itu sudah tentu tidak memungkinkan anda berjaya dalam menjalani jalan menuju Allah.

Setiap anggota badanmu juga perlu dijaga. Jagalah lidahmu dari memperkatakan sesuatu yang terlarang baginya. Awasilah pendengaran dan pengelihatan yang merupakan dua pintu yang sentiasa terbuka menuju ke hati. Apa sahaja yang masuk menerusi kedua-dua pancaindera ini akan sampai ke hati. Betapa banyak perkara yang didengar dan dilihat oleh manusia dari hal-hal yang tidak patut sampai kesannya ke hati, lalu sukar pula baginya untuk menghapuskan kesan itu.

Allah swt telah berfirman:

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya."
(Asy-Syams : 8-10)

Berbagai jenis manusia yang melakukan dosa. Ada yang sudah berkebiasaan melanggar perintah Allah dan mengerjakan laranganNya sehingga tidak lagi sensitif dengan perbuatannya itu. Ada pula yang melakukan dosa kerana kelemahannya untuk mengawal dorongan nafsu sedangkan ia sendiri menyedari akan kelemahan itu. Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari golongan ini. Bagaimanakah reaksi kita terhadap dosa yang dilakukan itu? Adakah kita bergembira dan berbangga? Ataupun adakah kita kita segera menyesali dengan apa yang dilakukan itu?

Manusia yang benar-benar ingin berjalan menuju Tuhannya, benar-benar cinta dan memikirkan Hari Akhirat serta sentiasa mengambil berat untuk menghadapinya, malah sentiasa bimbang terhadap nasib yang akan diterimanya kelak. Dia benar-benar insaf bahawa di suatu hari nanti dia akan mati dan dihisab. Inilah yang menyebabkannya takutkan akibat yang akan dihadapi disebabkan dosa-dosanya. Lantaran itu ia segera bertaubat dan memohon ampun dari Tuhannya, untuk membersihkan diri dari dosa. Ia memahami bahawa dosa adalah suatu bebanan yang tidak berguna yang dipikulnya di dalam perjalanan ini. Dia menyedari sekiranya bebanan itu dibuang jauh-jauh maka dia akan lebih tangkas dan senang dalam menjalani jalan ini. Dia juga menginsafi firman Allah yang Maha Penyayang di dalam Al-Quran:

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (An-Nisaa' : 110)

Sabda Rasulullah saw:

"Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang hambaNya melebihi dari kesenangan seseorang yang menemukan kembali untanya yang telah hilang daripadanya di tengah padang pasir."
(Bukhari, Muslim)

Syarat taubat yang sah ialah menyesali diri di atas segala dosa yang lalu dengan sebenar-benar penyesalan serta berazam kuat untuk tidak akan kembali kepada dosa yang sama selagi hayat di kandung badan. Orang yang bertaubat dari sesuatu dosa, sedang ia terus melakukan dosa itu, ataupun bercita-cita untuk melakukannya lagi, maka taubatnya itu tidaklah dikira sebagai taubat yang sebenar.

Taubat yang hakiki ialah taubat yang lahir dari hati yang benar-benar jujur, dari keazaman dan kemahuan yang datangnya dari dasaran hati yang insaf serta mempunyai tekad yang bulat untuk menghapuskan segala kesan-kesan dosa. Di antara tanda benarnya taubat seseorang hamba ialah terhapus keinginan untuk melakukan dosa dari hati serta mengingatkan diri agar tidak kembali kepada mengangan-angankan sesuatu dosa yang pernah ia bertaubat darinya sebelum itu. Ia terasa dirinya bernasib malang kerana ia makan kurniaan Allah tetapi menurut kehendak syaitan.

Di samping bertaubat dan memohon ampun, lazimkanlah dirimu mengakui akan kelalaian dan kecuaian dalam menunaikan kewajipan. Akuilah kehinaanmu, nescaya Allah akan menolongmu dengan kemulianNya. Akuilah kekuranganmu, nescaya Allah akan menolongmu dengan kesempurnaanNya. Akuilah kelemahanmu, nescaya Allah menolongmu dengan kekuatanNya.

Kemuliaan seseorang insan hanyalah tatkala ia bersandar diri kepada Tuhannya. Martabatnya jatuh apabila ia berbangga dengan dirinya sendiri. Seseorang yang melakukan amalan ketaatan seraya merasakan dirinya sudah baik serta menghina orang lain, padahal amal perbuatannya itu jika diperiksa di segi keikhlasan tidak mungkin diterima. Bahkan amalnya itu hanyalah perbuatan yang palsu dan tidak berharga di sisi Allah. Seorang mukmin yang hakiki harus sentiasa berada di dalam keadaan takut dan gentar, meskipun ia telah mengikhlaskan diri dalam ketaatan dan telah memperbaiki peribadatan kepada Tuhannya.

Menjauhi Diri dari Kesesiaan

Selain dari tercebur ke dalam kemaksiatan, seseorang insan tidak ketinggalan dari terjerumus ke lembah kesesiaan. Mereka suka menghabiskan masa mereka yang berharga itu untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan kemanfaatan. Islam membenci seorang muslim yang sibuk menghabiskan waktunya untuk hal-hal yang remeh, terlibat dalam perbincangan yang sia-sia serta perbuatan lain yang tidak berfaedah seperti banyak makan, banyak minum dan banyak tidur.

Hendaklah anda benar-benar menghargai waktu dan bersungguh-sungguh untuk memanfaatkannya. Setiap manusia pada hari kiamat akan ditanya mengenai usianya, untuk apa dihabiskan. Waspadalah, jangan sampai anda membelanjakan masa anda, hari anda, saat anda serta nafas anda pada sesuatu yang tidak berguna dan sia-sia, kelak anda akan menyesal dan berdukacita. Ketika itu barulah anda sedar bahawa anda telah mensia-siakan umur tatkala hidup di dunia.

Kita sering berpuashati membilang biji tasbih sambil berzikir nama Allah, tetapi kita tidak ada biji tasbih untuk mengira berapa banyak percakapan sia-sia yang kita ucapkan. Hamba-hamba Allah yang sebenar-benarnya adalah manusia yang tidak ingin berkata-kata kerana takutkan Allah. Sungguhpun mereka tidak bisu, sebaliknya dapat menggunakan bahasa dengan fasih, tetapi oleh kerana selalu memuji-muji Allah, mereka tidak dapat memperkatakan sesuatu yang sia-sia. Pernah seorang pujangga bermadah:

Rebutlah dua rakaat sembahyang,
Ketika berehat di malam gulita;
Gantikan dengan tasbih sahaja,
Dari bercakap sia-sia;
Diam lebih berguna,
Walau anda pintar berkata.

Apabila anda merasa hati keras, badan lemah dan tersuntuk rezeki maka ketahuilah bahawa anda telah bercakap perkara yang tidak bermanfaat. Jadikanlah diammu itu tafakkur dan percakapanmu hikmat kerana diam tanpa tafakkur itu tidak berguna sementara suara tanpa hikmat tidak bererti.

Rasulullah saw pernah bersabda:

"Jangan banyak bicara selain zikir kepada Allah kerana banyak bicara selain zikrullah menyebabkan hati keras dan sejauh-jauh manusia dari Allah ialah yang berhati keras." (Tarmizi)

Banyak makan, banyak minum dan banyak tidur juga boleh membawa kemudharatan. Meskipun anda memaksakan diri untuk beribadat dengan perut yang penuh dan anda berusaha dengan bermacam-macam cara agar boleh beribadat, namun ibadat anda itu tidak akan ada manisnya. Dengan banyak tidur pula umur seseorang itu tidak akan ada berkahnya.

Terdapat empat tingkat warak:

1. Menjauhkan diri dari perbuatan yang nyata haramnya.
2. Menjauhkan diri dari segala perbuatan yang syubhat.
3. Meninggalkan perbuatan yang sebenarnya halal tetapi dikhuatiri terbawa kepada yang haram.
4. Berpaling selain Allah kerana takut terpakai meskipun sesaat dari umurnya kepada perkara yang tidak berfaedah dalam mendekatkan diri kepada Allah swt walaupun ia tahu dan yakin bahawa perbuatan tersebut tidak membawa kepada yang haram.

Sabda Rasulullah saw:

"Sebaik-baik Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang bukan kepentingannya." (Tarmizi)

"Tanda Allah membelakangkan (membenci) seseorang itu ialah ia leka atau sibuk dengan perkara-perkara yang tidak diperlukan. Kalaulah seseorang itu habis umurnya barang sesaat sahaja dalam kerja yang bukan menjadi tujuan hidupnya, nescaya sepatutnya ia menerima penyesalan yang panjang."
(dari buku Hai Anak)

Redha akan Ketentuan Allah

Selain dari melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya, setiap orang mukmin hendaklah redha dengan segala apa yang telah ditentukan oleh Allah swt. Mereka hendaklah redha dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan olehNya. Dalam hal ini Allah berfirman:

"Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka." (Al Ahzab : 36)

Di samping itu setiap mukmin hendaklah redha dengan apa-apa yang telah ditakdirkan Allah kepadanya.

Firman Allah:

"Dan janganlah kamu irihati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang-orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita pun ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." (An-Nisaa' : 32)

08 Nov 2004
tapak asal[serikandiislam.blogdrive.com]

0 comments:

No comments: